Friday, December 14, 2012

Layak Atau Tidak Untuk Kita Pertikaikan Kasih Sayang Ibu Bapa Terhadap Anaknya

Sebelum kita leretkan entri menjadi lebih panjang, mari kita fahami definisi kasih sayang. Kasih sayang adalah tarikan hati atau kecenderungan seseorang untuk melakukan kebaikan pada orang lain. Dan ini adalah definisi umum.

Mari kita lihat definisi kasih sayang pada sudut jiwa manusia. Lebih tepat saya rasakan. Jika jiwa manusia itu cenderung pada wang ringgit atau keduniaan, sudah tentu penilaian kasih sayangnya pada bentuk material semata. Namun, jika jiwa itu cenderung pada PenciptaNya, sudah tentu orang itu menilai kasih sayang dari sudut yang lebih luas dan tidak hanya berpaksi pada wang ringgit. Sebagai contoh, dua situasi:


Situasi satu: Antara Abu dan Ayah

" Ayah, saya mahu keluar bergembira bersama kawan-kawan. Boleh ayah hantarkan? " Tanya Abu. "Demi kau, boleh saja anakku. " Jawab ayah.


Situasi dua: Antara Abu dan Ayah lagi

" Kenapa ayah belikan hanya untuk Ali? Saya ni bukan anak ayah ke? Tak sayang sayakah? " Gertak Abu.

Jelas. Kadang kala kasih sayang sejati itu dikaburkan dengan wang ringgit. Mengapa wang dijadikan tanda aras kasih sayang ibu bapa kepada anaknya?

Ramai yang silap. Silap dalam penilaian. Bila hati terdetik, " Eh mak dengan ayah ni tak sayang aku ke? ", kita sudah dikira buruk sangka. Jangan pertikaikan walau sedikit. Kerana orang tua kita itu adalah manusia. Lemah. Selalu buat silap. Payah untuk berlaku adil. Itu adalah kenyataan.

Kasih yang adil tidak akan dapat diraih dari jiwa manusia melainkan hanya dari Allah. Cuba letakkan diri anda pada kedudukan kedua orang tua. Rasakan beban mereka dalam mencurahkan kasih pada anak-anaknya.

Kita ini masih budak. Masih remaja. Hingusan.

Orang tua itu dewasa. Matang. Tidak hingusan.

Orang tua itu sayang pada anaknya hingga nafasnya yang terakhir.

Mari saya bawa anda singkap satu kisah. Tentang arwah datuk saya. Melalui cerita ibu, arwah seorang yang sangat garang semasa zaman mudanya. Anda dapat agak apa perasaan ibu ketika itu. Namun di hari tuanya arwah sakit. Berjalan terpaksa menggunakan tongkat. Satu hari dia datang ke rumah saya. Gigih memandu kereta dari Gemas hingga ke Seremban. Dalam keadaannya yang sedikit uzur. Dibawanya segala jenis makanan kegemaran ibu. Umbut kelapa, ikan sungai, terung telunjuk, nangka, petai. Berdebar hati ibu. Dikala kesihatan arwah yang tidak berapa baik ketika itu, bagaimana mampu untuk dia memandu sejauh itu. Dan itulah kali terakhir arwah datang sendiri ke rumah saya. Kini, kelibat kereta proton iswara yang dipandu oleh seorang tua berkopiah putih tidak lagi muncul di depan rumah. Rindu pada arwah.

Al-Fatihah untuk arwah Haji Mohd Noor Bin Yakin~

Kasih sayang itu luas. Kuncinya adalah sabar. Tidak perlu pertikaikan.




Thursday, December 13, 2012

Wasatiyyah by Ustaz Zaharuddin

Alhamdulillah dapat ke majlis ilmu lagi. Kali ni tentang konsep Wasatiyyah. Walaupun pengisian agak berat, banyak menggunakan perkataan-perkataan bahasa arab, dan Uzar pula mengandaikan yang hadir adalah bakal-bakal ustaz/ustazah, dan bukannya dari fakulti lain, agak susah untuk saya fahami penyampaian Uzar pada mulanya. Tambahan pula, saya tidak faham sepatah pun perkataan arab. Namun dengan izin Allah, dapat juga serba sedikit saya fahami tentang konsep wasatiyyah yang diterangkan.

Masya-Allah, memang tak terkira ilmu-ilmu yang disampaikan tadi. Kagum pada hamba-hamba Allah yang gigih mengkaji tentang agama. Dibandingkan dengan diri saya yang masih lagi di tahap golongan jahil. Namun berusaha untuk menjadi golongan awwam. Wasatiyyah adalah benda baru bagi saya. Banyak lagi yang perlu dibaca dan dikaji.

Walau apa yang kita buat, haruslah seimbang iaitu Wasatiyyah. Jika kita belajar ilmu keduniaan, ilmu agama/akhirat harus juga seiring. Kerana sesuatu yang seimbang itu adalah lebih baik. Wallahua'lam.


ShareThis