Monday, September 17, 2012

Momen Terindah

Syawal sudah berlalu pergi. Pasti dirindui. Pasti diingati. Tapi Ramadhan lebih melekat di hati.

Momen terindah.

Dua bulan yang bermakna. Ramadhan dan Syawal. Ternyata pada tahun ini, keadaan saya pada dua bulan tersebut cukup berbeza. Berbeza dalaman dan luaran. Segalanya hasil daripada ujian dan tarbiyah dari Allah. Pertama berkenaan dengan projek tahun akhir saya yang tak dapat saya selesaikan mengikut tarikh yang ditetapkan. Keduanya tentang kesihatan ibu saya yang tak berapa baik ketika itu.

Perit rasanya bila kita terpaksa selesaikan dua perkara dalam satu masa. Duduk dalam makmal teringatkan ibu di rumah yang sedang sakit. Duduk di rumah teringatkan projek tahun akhir yang belum siap. Saya akui yang saya tak boleh buat dua kerja dalam satu masa. Dalam keadaan itu, saya terpaksa buat pilihan. Antara ibu dan projek tahun akhir. Atas nasihat dan cadangan supervisor saya sendiri, saya memilih untuk bercuti dari makmal dan pulang ke rumah untuk menjaga ibu saya. Menyahut perintah Allah agar kita berbuat baik pada kedua ibu dan bapa. Tentang kerja-kerja makmal yang ditinggalkan, tak rugi apa pun. Saya percaya pada rezeki Allah.

Alhamdulillah, akhirnya saya berjaya siapkan projek tahun akhir saya. Sudah siap juga dibentangkan pada 11 September lalu. Tentang grednya, saya serah pada Allah. Apa pun keputusan saya redha. Terima kasih pada Supervisor dan ketua jabatan kerana memahami situasi yang saya hadapi.

Ibrahnya? Banyak. Tersangat banyak. Sekali imbas dilihat seperti beban yang berat. Tapi bagi saya apa yang terjadi adalah yang terindah. Indah bila disaat kita lupa, Allah ketuk balik pintu hati. Tanda Allah kasih pada kita. Dan paling istimewa Allah ketuk pintu hati dalam kita sedang jalani ibadah puasa. MasyaAllah.

Hati lebih terisi. Diri lebih tahu tentang makna hidup. Kadang-kadang saya lebih suka jika diletakkan dalam situasi yang sempit dan susah. Kerana dalam keadaan itu saya lebih mengingati Allah. Saya sedar tentang buruknya hati ini. Hatinya yang selalu berbolak-balik. Kadang-kala tunggang terbalik. Imannya sekejap di selatan. Sekejap lagi di utara. Walau apa pun, yang pasti jiwa ini dipegang oleh Allah. Dan setiap rasa yang timbul adalah dariNya.

Momen terindah yang banyak mengajar hati. Sabar.


**Kata orang hidup ini ada banyak makna. Lain orang lain maknanya. Tapi kita sebenarnya berkongsi satu erti hidup yang sama iaitu Allah. Betul kan? :)


Momen Terindah. Berkongsi definisi hidup yang sama.






No comments:

ShareThis