Monday, September 17, 2012

Part Time Nurse


Assalamualaikum

Part time nurse.

Setelah selamat ibu jalani pembedahan 'carbuncle' di belakang badannya, saya jadi jururawat separuh masa di rumah. Ibu lebih selesa untuk berehat di rumah. Memandangkan pada masa yang sama saya sibuk dengan projek tahun akhir, ada masa saya terpaksa berulang alik dari Kuala Lumpur ke Seremban. Kadang-kadang saya pandu kereta sendiri. Kadang-kadang saya naik pengangkutan awam. Penat. Lelah juga. Bagi saya antara projek dan ibu kedua-duanya sama penting. Hingga satu saat saya terpaksa buat pilihan. Ye berhenti dan pilih.

Kali ini saya lebih pada nak kongsikan tentang rawatan dan pemakanan ibu saya sepanjang 2 bulan selepas pembedahan 'carbuncle' yang disebabkan kencing manis. Setiap pagi ayah atau saya akan hantar ibu ke hospital untuk cuci luka dan pemeriksaan kesihatan. Kadang-kadang saya akan cuci sendiri di rumah.


Alatan yang digunakan ketika mencuci luka.


Cuci luka tidaklah susah. Cuma perlu tahan apabila melihat luka yang tiada kulit diluarnya. Sesetengah orang yang mabuk darah mungkin tak boleh lihat.

Dari segi pemakanan, ibu memang perlu berpantang. Waktu pagi saya akan beri ibu minum susu kambing. Lain-lain minuman saya tak galakkan. Senang cerita memang saya tak bagi. Tapi pagi tadi dia minta nak minum teh susu cair. Katanya dia letak susu pekat manis sikit saja. Tahu apa reaksi saya? Saya pandang tempat lain dan menyanyi (*tanda saya tak bagi). Dia macam nak merajuk tapi saya cakap dengan dia begini, "hesok khalau lambat helok jangan salahkan den" (dalam loghat negeri sembilan dan nada sengau). Dia gelak. Selesai masalah. Lain orang lain cara pujuk dia kan. :)

Tengahari pula dia akan makan nasi seperti biasa. Nasinya beras basmathi. Lauk pula yang bergoreng dan bersantan tak digalakkan. Sayur dilebihkan. Waktu malam sama seperti makan tengahari. Tapi kadang-kadang dia hanya makan roti beberapa keping. Kalau bab memasak, saya kurang pandai. Masih lagi belajar. Yang simple-simple bolehlah. Lauk yang susah nak buat biasanya saya akan sediakan bahan-bahannya saja. Yang masak ibu. Hehe.

Selain itu, ibu ada juga makan ubat yang doktor bagi. Namun, saya tak galakkan. Sebolehnya saya akan cari makanan tambahan lain untuk gantikan ubat doktor. Sebab ubat yang diberi hanyalah penahan sakit. Buat masa sekarang, saya berikan ibu produk dari herbalife, Nw Formula Niteworks dan juga Tea Mix. Keduanya berfungsi untuk tingkatkan kesihatan pesakit diabetes seperti ibu. Orang yang ada masalah jantung  dan darah tinggi pun sesuai makan kedua-dua makanan tambahan ini. Untuk luaran saya sapukan minyak habbatus sauda pada kakinya. Dia selalu mengadu kakinya sejuk dan sakit-sakit. Ada juga saye beri dia makan pati ikan haruan. Tapi tak berapa sesuai sebab lukanya bertambah gatal.


Susu kambing yang ibu minum


Yang Nw Formula ibu makan waktu malam. Tea Mix waktu siang.

Minyak Habbatus Sauda dari Turkey. Saya dapatkan dari  seorang kenalan di Makmal Fitokimia.

Usaha selagi boleh. Yang selebihnya saya serahkan pada Allah. Dialah sebaik-baik penyembuh. Saya harap perkongsian ini bermanfaat untuk sahabat yang ada masalah yang sama seperti saya :)

*Terima kasih buat Dik Cikin yang banyak membantu :)

Momen Terindah

Syawal sudah berlalu pergi. Pasti dirindui. Pasti diingati. Tapi Ramadhan lebih melekat di hati.

Momen terindah.

Dua bulan yang bermakna. Ramadhan dan Syawal. Ternyata pada tahun ini, keadaan saya pada dua bulan tersebut cukup berbeza. Berbeza dalaman dan luaran. Segalanya hasil daripada ujian dan tarbiyah dari Allah. Pertama berkenaan dengan projek tahun akhir saya yang tak dapat saya selesaikan mengikut tarikh yang ditetapkan. Keduanya tentang kesihatan ibu saya yang tak berapa baik ketika itu.

Perit rasanya bila kita terpaksa selesaikan dua perkara dalam satu masa. Duduk dalam makmal teringatkan ibu di rumah yang sedang sakit. Duduk di rumah teringatkan projek tahun akhir yang belum siap. Saya akui yang saya tak boleh buat dua kerja dalam satu masa. Dalam keadaan itu, saya terpaksa buat pilihan. Antara ibu dan projek tahun akhir. Atas nasihat dan cadangan supervisor saya sendiri, saya memilih untuk bercuti dari makmal dan pulang ke rumah untuk menjaga ibu saya. Menyahut perintah Allah agar kita berbuat baik pada kedua ibu dan bapa. Tentang kerja-kerja makmal yang ditinggalkan, tak rugi apa pun. Saya percaya pada rezeki Allah.

Alhamdulillah, akhirnya saya berjaya siapkan projek tahun akhir saya. Sudah siap juga dibentangkan pada 11 September lalu. Tentang grednya, saya serah pada Allah. Apa pun keputusan saya redha. Terima kasih pada Supervisor dan ketua jabatan kerana memahami situasi yang saya hadapi.

Ibrahnya? Banyak. Tersangat banyak. Sekali imbas dilihat seperti beban yang berat. Tapi bagi saya apa yang terjadi adalah yang terindah. Indah bila disaat kita lupa, Allah ketuk balik pintu hati. Tanda Allah kasih pada kita. Dan paling istimewa Allah ketuk pintu hati dalam kita sedang jalani ibadah puasa. MasyaAllah.

Hati lebih terisi. Diri lebih tahu tentang makna hidup. Kadang-kadang saya lebih suka jika diletakkan dalam situasi yang sempit dan susah. Kerana dalam keadaan itu saya lebih mengingati Allah. Saya sedar tentang buruknya hati ini. Hatinya yang selalu berbolak-balik. Kadang-kala tunggang terbalik. Imannya sekejap di selatan. Sekejap lagi di utara. Walau apa pun, yang pasti jiwa ini dipegang oleh Allah. Dan setiap rasa yang timbul adalah dariNya.

Momen terindah yang banyak mengajar hati. Sabar.


**Kata orang hidup ini ada banyak makna. Lain orang lain maknanya. Tapi kita sebenarnya berkongsi satu erti hidup yang sama iaitu Allah. Betul kan? :)


Momen Terindah. Berkongsi definisi hidup yang sama.






ShareThis