Friday, December 14, 2012

Layak Atau Tidak Untuk Kita Pertikaikan Kasih Sayang Ibu Bapa Terhadap Anaknya

Sebelum kita leretkan entri menjadi lebih panjang, mari kita fahami definisi kasih sayang. Kasih sayang adalah tarikan hati atau kecenderungan seseorang untuk melakukan kebaikan pada orang lain. Dan ini adalah definisi umum.

Mari kita lihat definisi kasih sayang pada sudut jiwa manusia. Lebih tepat saya rasakan. Jika jiwa manusia itu cenderung pada wang ringgit atau keduniaan, sudah tentu penilaian kasih sayangnya pada bentuk material semata. Namun, jika jiwa itu cenderung pada PenciptaNya, sudah tentu orang itu menilai kasih sayang dari sudut yang lebih luas dan tidak hanya berpaksi pada wang ringgit. Sebagai contoh, dua situasi:


Situasi satu: Antara Abu dan Ayah

" Ayah, saya mahu keluar bergembira bersama kawan-kawan. Boleh ayah hantarkan? " Tanya Abu. "Demi kau, boleh saja anakku. " Jawab ayah.


Situasi dua: Antara Abu dan Ayah lagi

" Kenapa ayah belikan hanya untuk Ali? Saya ni bukan anak ayah ke? Tak sayang sayakah? " Gertak Abu.

Jelas. Kadang kala kasih sayang sejati itu dikaburkan dengan wang ringgit. Mengapa wang dijadikan tanda aras kasih sayang ibu bapa kepada anaknya?

Ramai yang silap. Silap dalam penilaian. Bila hati terdetik, " Eh mak dengan ayah ni tak sayang aku ke? ", kita sudah dikira buruk sangka. Jangan pertikaikan walau sedikit. Kerana orang tua kita itu adalah manusia. Lemah. Selalu buat silap. Payah untuk berlaku adil. Itu adalah kenyataan.

Kasih yang adil tidak akan dapat diraih dari jiwa manusia melainkan hanya dari Allah. Cuba letakkan diri anda pada kedudukan kedua orang tua. Rasakan beban mereka dalam mencurahkan kasih pada anak-anaknya.

Kita ini masih budak. Masih remaja. Hingusan.

Orang tua itu dewasa. Matang. Tidak hingusan.

Orang tua itu sayang pada anaknya hingga nafasnya yang terakhir.

Mari saya bawa anda singkap satu kisah. Tentang arwah datuk saya. Melalui cerita ibu, arwah seorang yang sangat garang semasa zaman mudanya. Anda dapat agak apa perasaan ibu ketika itu. Namun di hari tuanya arwah sakit. Berjalan terpaksa menggunakan tongkat. Satu hari dia datang ke rumah saya. Gigih memandu kereta dari Gemas hingga ke Seremban. Dalam keadaannya yang sedikit uzur. Dibawanya segala jenis makanan kegemaran ibu. Umbut kelapa, ikan sungai, terung telunjuk, nangka, petai. Berdebar hati ibu. Dikala kesihatan arwah yang tidak berapa baik ketika itu, bagaimana mampu untuk dia memandu sejauh itu. Dan itulah kali terakhir arwah datang sendiri ke rumah saya. Kini, kelibat kereta proton iswara yang dipandu oleh seorang tua berkopiah putih tidak lagi muncul di depan rumah. Rindu pada arwah.

Al-Fatihah untuk arwah Haji Mohd Noor Bin Yakin~

Kasih sayang itu luas. Kuncinya adalah sabar. Tidak perlu pertikaikan.




Thursday, December 13, 2012

Wasatiyyah by Ustaz Zaharuddin

Alhamdulillah dapat ke majlis ilmu lagi. Kali ni tentang konsep Wasatiyyah. Walaupun pengisian agak berat, banyak menggunakan perkataan-perkataan bahasa arab, dan Uzar pula mengandaikan yang hadir adalah bakal-bakal ustaz/ustazah, dan bukannya dari fakulti lain, agak susah untuk saya fahami penyampaian Uzar pada mulanya. Tambahan pula, saya tidak faham sepatah pun perkataan arab. Namun dengan izin Allah, dapat juga serba sedikit saya fahami tentang konsep wasatiyyah yang diterangkan.

Masya-Allah, memang tak terkira ilmu-ilmu yang disampaikan tadi. Kagum pada hamba-hamba Allah yang gigih mengkaji tentang agama. Dibandingkan dengan diri saya yang masih lagi di tahap golongan jahil. Namun berusaha untuk menjadi golongan awwam. Wasatiyyah adalah benda baru bagi saya. Banyak lagi yang perlu dibaca dan dikaji.

Walau apa yang kita buat, haruslah seimbang iaitu Wasatiyyah. Jika kita belajar ilmu keduniaan, ilmu agama/akhirat harus juga seiring. Kerana sesuatu yang seimbang itu adalah lebih baik. Wallahua'lam.


Tuesday, November 6, 2012

Kelesum Learning Services


Assalamualaikum buat semua pembaca.

Alhamdulillah di kesempatan ini saya mengambil peluang untuk mengiklankan perkhidmatan pengajaran di rumah @ home tuition di bawah Kelesum Learning Services (SSM Reg No: 001861598-X). Kami menyediakan perkhidmatan pengajaran untuk UPSR, SPM, A-Level, STPM dan juga kursus bahasa di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Untuk maklumat lanjut, lawati fanpage kami di Facebook https://www.facebook.com/Kelesum. Sebarang pertanyaan boleh hubungi saya di 012-3379213 atau email ke berrypie_bella@yahoo.com atau terus ke akaun Facebook kami.






Sunday, November 4, 2012

Wajah Terindah



Ada apa pada wajah itu?

Tenang hati bila melihatnya

Sungguh indah

Ku lihat redha Allah ada pada wajah itu

Penuh barakah

Wajah itu menjanjikan pahala dari Allah

Juga menjanjikan kejayaan di dunia dan akhirat

Wajah siapakah itu?



Sungguh daku terhutang budi pada wajah terindah ini

Kerna dia sudi menumpangkan rahimnya

Kerna dia sudi memberi daku makan dan minum saat diriku tidak mampu

Kerna sudi berikan kasih sayang

Yang sentiasa mengirimkan doa buatku

Yang tidak akan pernah benci padaku

Wajah terindah itu adalah milik ibuku


Terima Kasih Ibu




Monday, September 17, 2012

Part Time Nurse


Assalamualaikum

Part time nurse.

Setelah selamat ibu jalani pembedahan 'carbuncle' di belakang badannya, saya jadi jururawat separuh masa di rumah. Ibu lebih selesa untuk berehat di rumah. Memandangkan pada masa yang sama saya sibuk dengan projek tahun akhir, ada masa saya terpaksa berulang alik dari Kuala Lumpur ke Seremban. Kadang-kadang saya pandu kereta sendiri. Kadang-kadang saya naik pengangkutan awam. Penat. Lelah juga. Bagi saya antara projek dan ibu kedua-duanya sama penting. Hingga satu saat saya terpaksa buat pilihan. Ye berhenti dan pilih.

Kali ini saya lebih pada nak kongsikan tentang rawatan dan pemakanan ibu saya sepanjang 2 bulan selepas pembedahan 'carbuncle' yang disebabkan kencing manis. Setiap pagi ayah atau saya akan hantar ibu ke hospital untuk cuci luka dan pemeriksaan kesihatan. Kadang-kadang saya akan cuci sendiri di rumah.


Alatan yang digunakan ketika mencuci luka.


Cuci luka tidaklah susah. Cuma perlu tahan apabila melihat luka yang tiada kulit diluarnya. Sesetengah orang yang mabuk darah mungkin tak boleh lihat.

Dari segi pemakanan, ibu memang perlu berpantang. Waktu pagi saya akan beri ibu minum susu kambing. Lain-lain minuman saya tak galakkan. Senang cerita memang saya tak bagi. Tapi pagi tadi dia minta nak minum teh susu cair. Katanya dia letak susu pekat manis sikit saja. Tahu apa reaksi saya? Saya pandang tempat lain dan menyanyi (*tanda saya tak bagi). Dia macam nak merajuk tapi saya cakap dengan dia begini, "hesok khalau lambat helok jangan salahkan den" (dalam loghat negeri sembilan dan nada sengau). Dia gelak. Selesai masalah. Lain orang lain cara pujuk dia kan. :)

Tengahari pula dia akan makan nasi seperti biasa. Nasinya beras basmathi. Lauk pula yang bergoreng dan bersantan tak digalakkan. Sayur dilebihkan. Waktu malam sama seperti makan tengahari. Tapi kadang-kadang dia hanya makan roti beberapa keping. Kalau bab memasak, saya kurang pandai. Masih lagi belajar. Yang simple-simple bolehlah. Lauk yang susah nak buat biasanya saya akan sediakan bahan-bahannya saja. Yang masak ibu. Hehe.

Selain itu, ibu ada juga makan ubat yang doktor bagi. Namun, saya tak galakkan. Sebolehnya saya akan cari makanan tambahan lain untuk gantikan ubat doktor. Sebab ubat yang diberi hanyalah penahan sakit. Buat masa sekarang, saya berikan ibu produk dari herbalife, Nw Formula Niteworks dan juga Tea Mix. Keduanya berfungsi untuk tingkatkan kesihatan pesakit diabetes seperti ibu. Orang yang ada masalah jantung  dan darah tinggi pun sesuai makan kedua-dua makanan tambahan ini. Untuk luaran saya sapukan minyak habbatus sauda pada kakinya. Dia selalu mengadu kakinya sejuk dan sakit-sakit. Ada juga saye beri dia makan pati ikan haruan. Tapi tak berapa sesuai sebab lukanya bertambah gatal.


Susu kambing yang ibu minum


Yang Nw Formula ibu makan waktu malam. Tea Mix waktu siang.

Minyak Habbatus Sauda dari Turkey. Saya dapatkan dari  seorang kenalan di Makmal Fitokimia.

Usaha selagi boleh. Yang selebihnya saya serahkan pada Allah. Dialah sebaik-baik penyembuh. Saya harap perkongsian ini bermanfaat untuk sahabat yang ada masalah yang sama seperti saya :)

*Terima kasih buat Dik Cikin yang banyak membantu :)

Momen Terindah

Syawal sudah berlalu pergi. Pasti dirindui. Pasti diingati. Tapi Ramadhan lebih melekat di hati.

Momen terindah.

Dua bulan yang bermakna. Ramadhan dan Syawal. Ternyata pada tahun ini, keadaan saya pada dua bulan tersebut cukup berbeza. Berbeza dalaman dan luaran. Segalanya hasil daripada ujian dan tarbiyah dari Allah. Pertama berkenaan dengan projek tahun akhir saya yang tak dapat saya selesaikan mengikut tarikh yang ditetapkan. Keduanya tentang kesihatan ibu saya yang tak berapa baik ketika itu.

Perit rasanya bila kita terpaksa selesaikan dua perkara dalam satu masa. Duduk dalam makmal teringatkan ibu di rumah yang sedang sakit. Duduk di rumah teringatkan projek tahun akhir yang belum siap. Saya akui yang saya tak boleh buat dua kerja dalam satu masa. Dalam keadaan itu, saya terpaksa buat pilihan. Antara ibu dan projek tahun akhir. Atas nasihat dan cadangan supervisor saya sendiri, saya memilih untuk bercuti dari makmal dan pulang ke rumah untuk menjaga ibu saya. Menyahut perintah Allah agar kita berbuat baik pada kedua ibu dan bapa. Tentang kerja-kerja makmal yang ditinggalkan, tak rugi apa pun. Saya percaya pada rezeki Allah.

Alhamdulillah, akhirnya saya berjaya siapkan projek tahun akhir saya. Sudah siap juga dibentangkan pada 11 September lalu. Tentang grednya, saya serah pada Allah. Apa pun keputusan saya redha. Terima kasih pada Supervisor dan ketua jabatan kerana memahami situasi yang saya hadapi.

Ibrahnya? Banyak. Tersangat banyak. Sekali imbas dilihat seperti beban yang berat. Tapi bagi saya apa yang terjadi adalah yang terindah. Indah bila disaat kita lupa, Allah ketuk balik pintu hati. Tanda Allah kasih pada kita. Dan paling istimewa Allah ketuk pintu hati dalam kita sedang jalani ibadah puasa. MasyaAllah.

Hati lebih terisi. Diri lebih tahu tentang makna hidup. Kadang-kadang saya lebih suka jika diletakkan dalam situasi yang sempit dan susah. Kerana dalam keadaan itu saya lebih mengingati Allah. Saya sedar tentang buruknya hati ini. Hatinya yang selalu berbolak-balik. Kadang-kala tunggang terbalik. Imannya sekejap di selatan. Sekejap lagi di utara. Walau apa pun, yang pasti jiwa ini dipegang oleh Allah. Dan setiap rasa yang timbul adalah dariNya.

Momen terindah yang banyak mengajar hati. Sabar.


**Kata orang hidup ini ada banyak makna. Lain orang lain maknanya. Tapi kita sebenarnya berkongsi satu erti hidup yang sama iaitu Allah. Betul kan? :)


Momen Terindah. Berkongsi definisi hidup yang sama.






Wednesday, August 29, 2012

Terpedaya Dengan Desak Hati Diri Sendiri

Assalamualaikum semua.

Sebelum saya mulakan penulisan, saya nak ucapkan Selamat Hari Raya kepada pembaca-pembaca blog saya. Termasuklah abang beca di luar sana ye. Mohon ampun atas segala salah dan silap jika ada di antara penulisan saya yang tidak berapa menyenangkan hati anda sekalian.

**`Tidak Berapa Menyenangkan Hati @ Hati Tak Senang'

**`Hati Senang dan Tenteram'

Antara dua statement di atas, mana satu yang anda pilih? Sudah pasti yang kedua bukan. (Ye Acik Bedah tanya then jawab sendiri)

Siapa yang tidak mahu akan hati senang riang gembira lagi-lagi di hari raya kan. Lagi-lagi dapat duit raya bersampul-sampul. Makan yang sodap-sodap. Pakai baju cantik-cantik

Eh terlajak sudah. Okeh Acik Bedah taknak cerita tentang hari raya. Stop!

Kita kembali bersiaran.

Hati senang dan tenteram. Bagaimana? Dimana? dan Apakah yang dapat menenangkan hati. Lain orang lain caranya nak dapatkan hati yang tenang. Kalau ditanya pada pemuzik, pastilah dengan mendengar irama muzik kegemaran, dah cukup untuk tenangkan hatinya. Kalau ditanya pada Cik Kiah pengusaha kuih semperit, pastilah dengan memberi kuih semperit percuma pada orang ramai boleh buat hati dia tenang. (Tabik springgg kat Cik Kiah yang gemar berinfaq). Kalau ditanya pada kaki joran, pastilah memancing di laut merah boleh buat hatinya senang. Tapi bagaimana kalau kita dah buat semua benda yang kita suka namun hati tak senang jugak? Apa sebenarnya yang mendesak hati anda untuk tidak tenteram? Yang pasti bukan kerana muzik, kuih semperit atau memancing di laut merah.

Pernah anda kaji apa yang buat hati anda tak keruan? Atau anda biarkan sahaja ketidaktenteraman itu berjoget-joget dalam hati? Contohnya, anda terlalu ingin makan kuih maruku yang dibuat istimewa oleh Muthusamy Karuppiah dan Muniandy Chinandorai. Perkara ini buat hati anda tak tenteram selagi tidak dapat makan maruku tersebut. Adakah anda biarkan sahaja? Dah tentu tidak. Pasti anda keuar mencari maruku itu. Takpun dengan gigihnya anda buat maruku sendiri. Kalau tak dapat jugak bagaimana? Buang saja perasaan nak makan maruku Muthusamy dan Muniandy itu. Selesai. Sebab anda sebenarnya terpedaya dengan desak hati diri sendiri. Boleh saja makan maruku yang dijual oleh Salmon Khan di stesen bas Kampung BadakSumbu.

*Boleh faham tak apa yang saya cuba sampaikan melalui analogi maruku yang putar-belit itu.

Pendapat saya mengatakan antara punca hati tidak tenteram adalah disebabkan desakan hati sendiri. Apakah yang menjadi musuh utama buat hati? Pernah dengar Cik Nafsu? Bila hati dicampur dengan desakan, tanpa anda sedar sebenarnya hati itu bercampur dengan nafsu. Desakan=Nafsu.

Nampak?

Kita selalu kata ikut kata hati, tanya pada hati. Betul ke begitu? Jangan! Kita perlu tukar sebaliknya. Ikut kata Allah, tanya pada Allah. (*Wup-wup comel sungguh). Kalau Allah tak kata, jangan buat. Senang je kan. Bukankah Allah yang berikan rasa tenang itu. Jika apa yang kita buat mengikut kehendak Allah, pasti hati tenang samada dalam keadaan senang atau susah. Kita ditimpa musibah tapi hati tetap tenang berusaha selesaikan segala masalah. Allah, indahnya jiwa yang tenang itu. Dan beruntunglah mereka-mereka yang selalu solat istikharah. Segala pilihan ditanya pada Allah. Ramai yang salah anggap dengan fungsi solat istikharah. Mesti dikaitkan dengan pilihan jodoh. Solat istikharah itu sebenarnya untuk semua perkara tentang pilihan. Kalau Cik Kiah Semperit nak beli rumah antara bungalow 10 tingkat atau rumah panjang di Sarawak, boleh saja dia lakukan solat istikharah. Kalau ikut kata hati Cik Kiah Semperit, bungalow 10 tingkat. Sebab rumahnya moden dan cantik. Tapi, siapa tahu yang sebenarnya rumah panjang di Sarawak itu lebih bagus untuk Cik Kiah Semperit. Lebih bagus demi menjaga agamanya dan kehidupannya di hari tua. Siapa tahu Cik Kiah bakal jadi Da'ieyah di rumah panjang itu dan dapat ganjaran pahala yang tidak terkira.

Kerana pilihan Allah itu adalah yang terbaik diantara yang terbaik. Kerana kita dah sedia tahu, Allah itu Maha Pengasih kepada hamba-hambanya. Jadi, jangan biarkan hati mendesak disebabkan oleh perkara yang tidak kita ketahui Allah redha atau tidak.

Ikut kata Allah, Tanya pada Allah :)

Jom kita tampal hati dengan plaster ;)

ShareThis